Monday, April 13, 2015

Takut Mati

1. Tidak Tahu Hakikat Mati.

Orang takut menghadapi mati kerana 6 (enam) hal.

Mati tidak lebih dari suatu peristiwa jiwa berhenti memakai perkakasnya, perkakas itu ialah anggota. Jiwa meninggalkan badan laksana pemandu berhenti memakai mobilnya. Jiwa itu ialah Jauhar. Bukan jisim dan bukan aradh.

Jauhar.

Jauhar ialah bahagian tubuh yang paling kecil dan tidak boleh dibagi lagi. Jisim ialah tubuh. Tubuh dapat dibahagi, walaupun bagaimanapun kecilnya. Dan Aradh ialah sifat yang datang kepada jisim atau jauhar itu, misalnya kapas terbang. Kapas namanya jisim dan terbang namanya Aradh. Jauhar kejadian jiwa, berlainan dengan jauhar kejadian tubuh. Sebab jauhar adalah jiwa bersifat halus dan aib. Jauhar tubuh bersifat kasar. Sebab itu sangatlah berbeza kelakuan sifat dan perangai jauhar rohani itu dengan jauhar jasmani. Jika jiwa telah bercerai dengan badan, jauhar jiwa tidaklah mati, tetapi kembali kepada kekekalannya, terlepas dari ikatan alam zahir. Kerana jauhar itu tidak fana selama dia masih jauhar, dan zatnya tidaklah akan habis. Yang habis dan bertukar ialah Aradh yang datang kemudian.

Marilah kita perhatikan jauhar jasmani yang lebih rendah darjatnya dari jauhar rohani itu, kita selidik dengan saksama. Tidak akan hilang dan habis dalam hakikat kejauharannya, melainkan berpindah Aradhnya dari suatu sifat kepada sifat lain. Tetapi kauhar itu masih kekal dalam kejauharannya.

Misal air, boleh menjadi wap dan boleh menjadi api, tetapi tiap-tiap jauhar yang berkumpul menjadi air atau menjadi api itu kekal di dalam kejauharannya.

Demikian keadaan jauhar jasmani. Jadi tubuh kita sendiri tidak hilang kalau kita mati, tetapi berubah sifatnya dari tubuh manusia menjadi tanah, atau mengalir ke dalam batang pohon kemboja yang tumbuh di atas pusara itu. Atau sebahagian dari jantung kita mengalir menjadi sekuntuk bunga melati yang tumbuh di kuburan. Tetapi jauhar rohani tidaklah menerima pergantian dan pertukaran sifat, tidak menerima aradh pada zatnya, tetapi menerima sifat lebih sempurna dan lebih agung. Sebab itu dia tidaklah hilang. Maha Kuasalah Tuhan yang dapat membangkitkannya pula kelak, menurut asal kejadiannya.

2. Tidak Insaf Kemana Sesudah Mati.

Orang takut mati kerana dia tidak tahu ke mana akan pergi sesudah mati, dan tidak tahu bahawa jiwa itu kekal. Tidak tahu pula kaifiat dan keadaan hari kemudian. Orang yang demikian, pada hakikatnya bukanlah takut mati, tetapi tidak tahu barang yang mesti diketahui. Yang menimbulkan takut, ialah kebodohan. Bagi orang cerdik, kematian itu mendorongnya menghabiskan umurnya menuntut kemuliaan rohani. Mereka lebih suka bertanggang (berjaga), tidak tidur sampai larut malam kerana memikir hikmat. Mereka berkeyakinan bahawa kesenangan sejati di dalam kehidupan ialah terlepas dari kebodohan, terlepas dari kebingungan di dalam menilik rahsia alam. Kepayahan yang larut menimpa jiwa, ubatnya ialah mempelajari ilmu, itulah kelazatan dan kesenangan abadi.

Oleh sebab itu orang yang cerdik giat menuntut ilmu yang hakiki, dan dengan ilmu itu dapat menyelidiki bagaimanakah keadaan insan sesudah matinya. Seorang sahabat Nabi saw bernama Haritsah berkata kepada Nabi:

“Oh, Rasulullah, seakan-akan hamba lihat Arasy Tuhan terbentang nyata di mataku. Seakan-akan lihat ahli syurga itu hidup di dalamnya bersuka-suka, berziarah-ziarahan. Seakan-akan hamba lihat pula ahli neraka menerima seksanya, melaknati yang satu kepada yang lain”.

Apa yang dilihat oleh Haritsah ini diperoleh dengan menyelidiki hakikat diri, dan menyelidiki hubungannya dengan keadaan badan kasar, bagaimana khasiat dan pengaruh jiwa, apa yang disukainya dan apa pantangnya. Hadapkan ke mana tujuan kesucian dan hindarkan dari kerendahan yang menghalangi kesempurnaannya. Kerana kehendak rohani yang suci amat berbeza dengan kehendak ikatan badan yang kasar.

Islam menyuruh kita berfikir, menyelidiki dan merenungi, disuruhnya bangun tengah malam, waktu gelap membawa kesunyian, di waktu cahaya yang lahir gelap dan cahaya batin terang, maka dari alam ghaib akan menyorotlah cahaya abadi kepada yang ghaib itu. Disuruhnya memperhatikan keadaan alam bagaimana unta terjadinya, bagaimana langit terbentang, keadaan bukit di bumi, dan keadaan bumi terhampar.

Tatkala para budiman mengetahui bahawa kesempurnaan jiwa ialah dengan ilmu, dan kesengsaraan ialah kerana kebodohan, serta difikirkan mereka pula bahawa ilmu itu adalah ubat dan bodoh itu penyakit, tidak ada jalan lain lagi, maka mereka perdalam pengertian, perhalus permenungan, sehingga sampai ke dalam jiwa dan rongga hati. Lantaran itu timbullah pendirian yang lain daripada pendirian orang, pendirian yang menyebabkan takut mati. Pendirian itu ialah memandang bahawa barang barang lahir ini pada hakikatnya tidak ada harganya, datangnya dari Adam (tak ada) dan akan kembali kepada Adam pula. Mereka berkeyakinan bahawa dunia, meskipun bagaimana dibesarkan, tidak akan lebih dari kampung yang sempit, yang mengikat, yang menghalangi manusia mencari rahsia alam ghaib, alam yang lebih indah. Kampung tempat singgah berhenti sebentar.

Timbulnya keyakinan mereka bahawa harta benda, kekayaan, kesenangan lahir dan segala ikhtiar mencapainya, semuanya tidak kekal dan lekas sirna, lekas hilang. Menyusahkan jika terkumpul, mendukacitakan jika hilang.

Buat para budiman, segala harta benda, kekayaan dan lain-lain itu mereka pergunakan sekadar yang perlu. Datanglah kalau mahu datang, akan mereka terima. Pergilah kalau mahu pergi, akan mereka lepas. Mereka tidak hidup berlebih-lebihan. Sebab semuanya mengajar manusia haloba dan tamak. Bilamana manusia telah sampai kepada suatu tingkat, dia hendak meningkat kepada yang lebih tinggi lagi. Yang membatas hanyalah kubur juga. Ini harus dibatasi dengan kesedaran.

Mati yang sebenarnya ialah jika manusia diikat dunia, harta benda dan kekayaan, menjaga dan memeliharakan barang palsu, yang tidak ada harganya untuk dijunjung, yang kerap meninggalkan kita lebih dahulu, atau kita tinggalkan lebih dahulu.

Hukama membagi kematian itu kepada dua macam:

1. Kematian Iradat.
2. Kematian Tabiat.

Kehidupan mereka bagi dua pula:

1. Kehidupan Iradat.
2. Kehidupan Tabiat.

Kematian Iradat, ialah mematikan kemahuan dari dunia yang tidak berguna, ambil yang perlu saja, matian syahwat dari kehendak yang di luar batas, matikan nafsu kehalobaan dan tamak, matikan memburu harta sehingga melupakan kesucian. Lalu dijuruskan iradat itu kepada hidup yang lebih tinggi.

Kematian Tabiat, ialah bilamana jiwa telah meninggalkan badan. Para Hukama membuat pepatah:

“Matilah Sebelum Mati”.

Kehidupan Iradat, ikhtiar menghidupkan jiwa di dalam kemuliaan di dalam ilmu pengetahuan, di dalam menyelidik hakikat alam yang jadi peta dari hakikat kebesaran Tuhan.

Kehidupan Tabiat, ikhtiar menghidupkan jiwa di dalam kemuliaan di dalam ilmu pengetahuan, di dalam menyelidik hakikat alam yang jadi peta dari hakikat kebesaran Tuhan.

Plato berkata:

“Matilah dengan iradat, tetapi hiduplah dengan tabiat”.

Imam Ali bin Abi Thalib berkata:

“Siapa yang mematikan dirinya di dunia, bererti menghidupkannya di akhirat”.

Demikian tafsir dari kedua keterangan ahli hikmah Barat dan Timur itu.

Dengan demikian, siapa yang takut menghadapi mati, ertinya takut menempuh kesempurnaan. Kesempurnaan manusia itu adalah dalam tiga fasal: hidup, berfikir dan mati.

Raghib Asyfahani berkata:

“Manusia dan kemanusiaan itu tidak seperti kebanyakan persangkaan orang, iaitu hidupnya cara hidup binatang dan matinya cara kematian binatang pula. Berfikir di dalam makhluk itu hanya pada manusia saja. Kehidupan manusia adalah sebagai yang dinyatakan di dalam Al-Quran:

Ertinya:

“Untuk memberi ingat kepada orang yang hidup”.

“Mati manusia lain dari mati binatang. Mati manusia ialah mati syahwatnya, mati amarahnya, semua terikat ole kehendak agama”. Sekian kata Raghib.

Sebab itu, dengan sendirinya dapat difahami, bahawa mati itu ialah kesempurnaan hidup. Dengan kematian manusia sampai kepada puncak ketinggiannya. Barangsiapa yang tahu bahawa segala isi alam ini tersusun menurut undang-undangnya, dan undang-undang itu mempunyai jenis dan fasal (sifat), siapa yang faham bahawa kehidupan itu harus ditempuh jenis manusia, dan sifatnya ialah berfikir dan mati, maka akan faham pulalah dia bahawa mati wajib ditempuhnya, untuk menyempurnakan sifatnya. Kerana tiap-tiap yang telah tersusun dari suatu benda, akhirnya dia akan surut kepada benda itu juga.

Kalalu demikian adanya, cubalah tilik, siapakah yang lebih bodoh dari orang yang takut menempuh kesempurnaan?

Siapakah yang lebih bodoh daripada orang yang lebih suka tinggal di dalam kekurangan? Siapakah yang lebih sial daripada orang yang menyangka bahawa dengan kekurangan dia telah sempurna?

Orang yang dalam kekurangan, takut menempuh kesempurnaan, adalah tanda kebodohan yang paling besar.

Oleh kerana takut mati adalah penyakit yang timbul lantaran kebodohan, maka hendaklah orang yang berakal merasai benar bahawa hina dirinya kalau dia lebih suka dalam kekurangan. Seorang berakal hendaklah merindui kesempurnaan. Hendaklah disiapkan dan dicarinya bekal untuk mencari sempurna itu, dibersihkannya, dipertingginya kedudukannya, diawasi jangan jatuh ke dalam jerat. Diyakininya bahawasanya Jauhar jasmani jika manusia mati, akan kembali ke tanah, dan Jauhar rohani akan kembali kepada Tuhan.

Dengan terpisah jasmani dengan rohani, terlepaslah rahani itu dari ikatan, dia lebih merdeka, lebih suci dan lebih tinggi darjatnya, dia berada sebagai jiran Rabbul Alamin, bercampur gaul dengan arwah yang suci-suci.

Dengan segala keterangan ini dapatlah disimpulkan, bahawa orang yang amat takut meninggalkan dunia, takut perceraian tubuh dengan jiwa, adalah tersasar fikirannya, meminta barang yang tidak boleh terjadi, bodoh dan tidak mengerti. Seakan-akan orang yang tinggal di rumah yang kecil, akan pindah ke rumah besar, enggan hatinya akan meninggalkan rumah kecil itu, kerana selema ini telah biasa hidupnya di sana, serasa-rasa tidaklah senak itu yang akan dikecapnya di rumah besar. Kelak setelah tinggal di rumah besar itulah baru dia insaf bahawa persangkaannya telah salah dahulunya.

Dengan pindah rumah dapat dimisalkan dari alam sempit, kendungan ibu, menangis ketika lahir. Padahal lama di dunia, kita pun betah (suka) tinggal di sini. Demikian pula pindah dari dunia ke akhirat, melalui maut. Yang gelisah hanyalah di hari kita pindah itu. Dan hari pindah itu tidaklah lama.

3. Takut Kena Seksa.

Orang yang takut mati lantaran akan diseksa di akhirat oleh kerana dosa-dosanya, pada hakikatnya bukanlah takut mati, tetapi takut kena seksa. Kalau demikian halnya, tandanya ia mengakui sendiri bahawa dia berdosa, pernah mengerjakan yang terlarang atau menghentikan yang disuruh, yang menyebabkan dia dapat seksa. Tandanya dia pun merasa bahawa kelak sesudah matinya perkaranya akan dibuka di akhirat, di hadapan Hakim Yang Maha Adil, yang diseksaNya ialah pekerjaan jahat, bukan pekerjaan baik. Di sini nyata sekali bahawa orang ini bukan takut mati, tetapi takut mengingat balasan dosanya. Maka ubatnya,hendaklah segera singkirkan dosa itu dan jauhilah jalan yang membawa kepada dosa. Segala kesalahan yang telah terlanjur hendaklah mohonkan ampunnya kepada Tuhan, serta taubat nasuha, berjanji tidak akan mengulangi segala kesalahan yang menimbulkan dosa itu.

Pekerjaan jahat yang menimbulkan dosa, terbit dari budi pekerti yang rendah. Sebab itu berusahalah membersihkan budi, memperhalus perangai dan kesopanan. Sebab tiap-tiap orang yang mempunyai kesopanan dan budi pekerti, merasa malu dan berat mengerjakan dosa.

4. Tidak Tahu Kemana Diri Sesudah Mati.

Orang yang tidak berilmu takut mati, lantaran mengingat dia akan ditinggalkan seorang diri di liang lahat yang kelam, tidak berteman seorang jua. Orang yang takut mati lantaran mengingat kubur, adalah tanda kebodohan juga.

Kubur bukanlah perhentian rohani, kubur adalah perhentian jasmani. Bukan di dalam kuburan saja tempat perhentian itu. Lihatlah orang yang mati di dalam kapal dan dilemparkan mayatnya ke lautan, entah masuk perut ikan, entah sampai ke dasar laut, tidaklah kita tahu. Orang Hindu dibakar orang mayatnya, orang Mesir dahulu kala dibuatkan mummi, dibalsemnya mayat itu, tahan tidak rosak beribu-ribu tahun. Ada juga mayat telah bertahun-tahun dikuburkan, tidak rosak-rosak, seperti yang ditemukan di Bandung awal tahun 1936, mayat dua orang yang berdekatan kuburnya tidak rosak. Tidaklah menjadi pertanggungan bahawasanya badan yang tidak rosak itu ada hubungannya dengan keselamatan jiwa, semuanya telah kembali kepada tanah. Tempat jiwa tersisih sendiri, malahan agaknya lebih ramai hidupnya di dalam alam barzah itu daripada kehidupan kita di dunia ini.

Sebab itu, orang tak boleh takut menghadapi mati lantaran badan akan tinggal seorang diri dalam kuburan. Sebab perasaan tidak ada pada orang mati, perasaan telah dibawa oleh rahoni. Badan akan hancur, bukanlah badan itu yang ditanyai atas amalnya, tetapi rohani.

5. Takut Sedih Akan Meninggalkan Harta Dan Anak.

Ada pula orang yang takut sedih akan meninggalkan dunia, bukan lantaran takut kematian, tetapi sedih meninggalkan harta, sedih meninggalkan anak. Ada orang yang bersedih hati sebab akan bercerai berai dengan kepelesiran dunia, sayang umurnya yang masih muda.

Orang ini bukan takut, tetapi bersedih hati saja. Hendaklah ingatkan kepadanya bahawa penyakit sedih hati itu berbahaya sekali. Dia melekaskan datangnya penyakit sebelum waktu. Dia telah bersedih memikirkan barang yang tidak ada harganya disedihkan.

Itulah gunanya didikan agama yang selalu memesankan supaya manusia tidak mencintai nikmat tetapi cintailah yang memberi nikmat.

6. Kesimpulan Tentang Takut Mati.

Takut mati adalah kerana orang tak tahu apa hakikat mati itu. Atau tidak tahu ke manakah dirinya dan jiwa raganya akan pergi, atau disangkanya bila badannya dan jiwanya telah bercerai dari tubuh hancur di dalam kubur, jiwanya pun turut rosak pula. Alam akan terus kekal, orang lain akan terus mengecap nikmat alam, sedang dia tidak ada lagi di sana, demikianlah sangkanya. Atau disangkanya bahawa kematian itu adalah sakit yang paling hebat, lebih sakit dari segala macam penyakit. Dia tidak tahu bahawa mati itu bukan penyakit. Salah seorang berkata bahawa segala penyakit ada ubatnya, kecuali mati, sebab mati itu bukan penyakit. Ada juga orang yang takut mati lantaran takut seksa.

Semuanya timbul lantaran kebodohan.

Padahal, adalah manusia ini termasuk isi alam yang luas, segala alam ini awalnya tiada, tengahnya ada dan kahirnya lenyap. Orang yang tak suka lenyap, ertinya tak suka ada. Orang yang tak suka ada, ertinya lebih suka rosak badannya. Jadi orang itu mempunyai perasaan suka rosak dan suka tidak rosak, suka ada tetapi tidak suka ada. Suka hidup lama, tetapi tak suka tua. Semua adalah barang yang mustahil yang tidak masuk akal orang yang berfikiran waras. Jadi fikiran begini, tidaklah waras.

Kalau nenek moyang kita tidak mati-mati, akan sampaikah agaknya kehidupan itu kepada kita? Kalau manusia kekal saja, tentu kita tak perlu ada. Kalau nenek moyang itu masih hidup saja sampai hari kiamat, dan kita lahir pula, tentu dunia kesempitan manusia.

Misalkan Sayidina Ali bin Abi Thalib masih hidup, dan masih tetap beranak, dan anaknya itu beranak pula, cucunya itu beranak pula, dan anak cucunya itu beranak pula, dan setahun kemudian Ali beroleh putera lagi, dan putera itu beranak pula, dan cucu dari cucunya itu beranak juga sedang antara dua tahun di belakang kembali Saidina Ali beranak.

Kalau kita misalkan Sayidina Ali hidup sampai sekarang isterinya empat orang beranak sekali setahun, tentu anaknya sampai sekarang tidak akan durang dari 1,300 orang, dan yang lahir tahun pertama akan beranak pula 1,280 orang, dan cucunya dari anak yang pertama itu akan beranak 1,260 orang. Cubalah perkalikan dan jumlahkan jutaan turunan Sayidina Ali saja.

Keturunan Sayidina Ali sendiri sajakah yang harus memeruhi dunia? Belum dihitung orang yang lebih tua daripadanya, seperti Plato, Socrates dan lain-lain.

Di dinding istana seorang raja Arab ada tulisan, begini bunyinya:

“Dengan nama Allah Yang Pengasih lagi Penyayang. Ingatlah, engkau duduk sekarang di sini kerana ada yang telah pergi”.

Kalau manusia kekal saja sejak Nabi Adam sampai sekarang agaknya kalau ditambah tempat tinggal 3 (tiga) kali bumi lagi, tidaklah akan mencuupi. Sedangkan ada yang mati menurut aturan yang dibuat Allah Taala, lagi sudah juga seisi dunia memikirkan krisis kelebihan manusia buat zaman yang akan datang, sampai terbit teori Neo Malthusianisme!

Fikirkanlah dunia, fikirkan kemanusiaan, fikirkan alam dngan enang! Di sana kelak kita tahu bagaimana adil dan maha murahnya Tuhan. Di sinilah perbezaan kepercayaan Islam dengan agama Nasrani.

Menurut orang Nasrani, kematian itu adalah dosa. Bagi Islam, kematian itu adalah keadilan Tuhan, belas kasihan Tuhan kepada hambaNya, disuruh pergi kedunia, dan kemudian dipanggil pulang. Mengapa ke dunia? Iaah beramal dan beribadat, berjuang dalam hidup. Kalau orang bersungguh-sungguh memperbaiki hidupnya, inginlah dia hidup supaya sesudah hidup itu dia beroleh kematian dengan kematian itu ialah nikmat, yang kerananya harus kita mengucapkan kesucian bagi Tuhan.

“Maha Sucilah Tuhan Yang di tanganNya segenap kekuasaan, dan Dia berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Dialah yang menjadikan mati dan hidup, supaya diberi sajian atasmu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya”. (Al-Mulk: 1-2).

Di dalam ayat ini didahulukan menyebut mati dari menyebut hidup, supaya orang ingat jalan yang akan ditempuh sebelum orang berjalan, ingat akibat sebelum melangkah. Nyata benar bahawa orang yang takut mati, ertinya orang yang takut menerima nikmat Tuhan tidak sudi menerima anugerahNya dan pemberianNya.

Maka nyatalah sekarang bahawa mati itu tidaklah azab dan seksa bahkan ada orang yang mendasarkan kematian atas dosa, iaitu dalam ajaran agama Kritian. Kematian bukanlah seksa. Seksa hidup ialah takut mati, bukan mati. Di atas sudah diterangkan mati itu hanya perceraian tubh kasar dengan tubuh halus. Perceraian itu bukan pula merosak tubuh halus, cuma sangkarnya saja yang rosak, iaitu tubuh kasar. Tubuh halus tetap ada, kekal! Dia tidak mempunyai keperluan seperti keperluan tubuh, dia tak perlu makanan dan minuman, tidak akan berebutan harta dan rezeki, tidak perlu berebutan rumah tempat tinggal, alamnya bukan alam kita ini. Jika dia sampai ke dalam alam yang demikian, dekatlah dia kepada Tuhannya, di sanalah dibuka perhitungan amal dan jasanya, mana yang baik menerima upahan baik, mana yang jahat menerima ganjaran jahat.

No comments: